Monday, May 18, 2009
Tarikh keramat 16 Mei sentiasa diingati dan di sambut dengan meriah di setiap sekolah pelusuk kawasan. Pada masa inilah kedengaran lagu Guru Malaysia berkumandang....dan kita dapat mendengar serta melihat guru-guru menyanyikan dengan penuh semangat. Segala pengorbanan dan tunjuk ajar mereka...sentiasa terpahat dan menjadi azimat untuk berjaya...Terima kasih guru yang telah mendidik dan mengajar aku sehingga berjaya....Masih kuingat segala tunjuk ajarmu bermula di peringkat tadika sehingga ke peringkat menengah.....
Lagu Guru Malaysia
Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita
Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua
Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan
Kalau anda seorang guru, anda tentu tidak asing lagi dengan Lagu Guru Malaysia yang sentiasa dikumandangkan setiap menjelangnya 16 Mei pada tiap-tiap tahun.
Kalau anda seorang pelajar, setiap tahun anda tentu mendengar lagu ini didendangkan oleh guru-guru anda di sekolah.
Kalau anda seorang bekas pelajar, tentu lagu ini membawa kenangan kepada anda. Ingatkah lagi, waktu itu anda terpaksa menahan otot betis yang tegang kerana berdiri lama mendengar amanat orang-orang atas sebelum guru-guru anda menyanyikannya? Ingatkah lagi, anda bertepuk tangan setelah selesai guru-guru menyanyi? Ingat lagi anda terpaksa menahan ketawa kerana antara puluhan guru yang mendendangkan lagu itu ada beberapa orang yang sumbang suaranya? Dan selepas itu ada pertandingan permainan dengan guru-guru. Selepas itu ada makan-makan, beri cenderamata, ucap-berucap, dan banyak lagi ... Kini semuanya tinggal kenangan.
GURU OH GURU
BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG
1979
- Cikgu Azham (MRSM BATU PAHAT)
- Cikgu Rahim (Guru TAHUN 1)
- Cikgu Zolkefly(Guru Tahun 4 dan 5)
- Cikgu Shafie (Guru Tahun 6)
- Cikgu Soberi (Guru Tingkatan 4 dan 5)
- Cikgu Fakharudin (SBPI PEKAN)
- Cikgu Norafauziah(METHODISt TANJUNG MALIM)
- Cikgu Norasiah (SAINS MUAR)
- Cikgu Rozlan (SAINS MUAR)
- Semua guru-guru yang pernah mengajar dari sekolah rendah sehingga ke sekolah menengah)
- Guru-guru di Malaysia
-Hassan Ismail-